TOWARDS INDUSTRIAL NEEDS

Wednesday, October 24, 2012

 Ranaco|Group Company mengucapkan "Salam Aidiladha" kepada seluruh warga Ranaco dan juga kepada seluruh umat islam dalam dan luar negara. Bersama-sama kita menghayati sebuah pengorbanan dan taat kepada Allah S.W.T.






Menghayati makna korban sebenar

Umat Islam di negara ini dan di seluruh dunia menyambut Hari Raya Korban (Hari Raya Haji / Hari Raya Aidiladha). Salah satu ibadah amaliah yang dilaksanakan pada sekitar Hari Raya Haji ialah ibadah korban. Melaksanakan korban (yang dalam istilah fiqhnya disebut udhiyah) adalah menyembelih haiwan ternak pada Hari Raya Aidiladha dan hari tasyrik dengan niat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Inilah peristiwa besar yang melambangkan sejarah agama tauhid, pengorbanan yang ikhlas kerana Allah dan usaha terus menerus untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Ia merupakan amalan tradisi para nabi sejak Adam hingga Nabi Muhammad s.a.w.

Kita amat gembira melihat banyaknya kaum Muslim yang menyambut panggilan mulia ini, mengorbankan sebahagian harta atau haiwan ternak demi mengharapkan keredaan Allah s.w.t. Kita tanamkan niat murni dan ikhlas ini kerana Allah s.w.t dan usah sekali-kali ia dilakukan untuk lebih dihormati oleh masyarakat. Lebih daripada itu, berkorban itu biarlah benar-benar selaras dengan tuntutan Rasulullah s.a.w.

Dalam satu riwayat daripada Aisyah, disebutkan bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Tidaklah keturunan Adam melakukan suatu perbuatan pada hari nahr yang lebih dicintai Allah selain mengalirkan darah (menyembelih haiwan korban). Haiwan sembelihan itu akan datang pada hari Kiamat membawa tanduknya, kukunya, dan bulunya. Sesungguhnya darah haiwan sembelihan itu sampai kepada Allah lebih dahulu daripada sampai ke tanah. Maka sucikanlah diri kamu dengannya.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tarmizi).

Al-Allamah Al-Manawi berkata, maksud hadis tersebut adalah bahawa ibadah yang paling utama pada hari itu adalah mengalirkan darah (menyembelih haiwan korban), dan bahawa pada hari Kiamat kelak korban itu akan datang sebagaimana adanya ia di dunia, tidak berkurang sedikit pun. Dan orang yang melakukan korban itu akan diberi pahala dari setiap anggota tubuh haiwan korbannya itu.

Baginda Rasulullah s.a.w sendiri dalam sebuah hadis telah mengungkapkan, orang-orang yang tidak melaksanakan ibadah korban sedangkan dia berada dalam keadaan mampu, maka jangan dekat kepada kami yang melaksanakan ibadah ini. Hakikatnya kita sebagai manusia sering bergelumang dalam dosa dan memiliki jarak dengan Allah.

Manusia berkewajipan mendekatkan diri kepada-Nya. Maka, salah satu caranya adalah dengan berkorban. Oleh yang demikian itu, maka sewajarnya kita menginsafi kembali akan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: ”Barang siapa yang mempunyai keluasan rezeki, lalu tidak berkorban, maka janganlah mendekati tempat solat kami.” (Riwayat Ibnu Majah)

Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah daripada Zaid bin Arqam, pernah seorang sahabat bertanya kepada baginda:
‘‘Wahai Rasulullah, apakah erti korban ini?” tanya sahabat.
‘‘Itulah sunnah daripada datukmu Ibrahim,” jawab Rasulullah.
“Apakah keuntungan korban itu untuk kita?” tanya sahabat itu lagi.
‘‘Setiap helai bulu haiwan korban itu merupakan satu kebaikan (hasanah),” jawab Rasulullah.
Seandainya ada sesuatu yang lebih utama daripada penyembelihan haiwan korban yang menjadi penebusan manusia di atas segala nikmat, tentunya Allah tidak akan menyebutkan penyembelihan haiwan korban itu menerusi firman-Nya yang bermaksud: ”Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar, sebagai tebusan ke atas Ismail a.s.” (As-Shaffat: 107)

Berdasarkan keterangan hadis dan firman Allah yang diungkapkan dalam al-Quran, bahawa amalan korban berasal daripada Nabi Ibrahim a.s yang kemudiannya diwarisi oleh baginda sebagai satu ibadah dalam syariat Islam yang sangat dianjurkan untuk dilaksanakan.

Ibadah korban ini berasal dari zaman Nabi Ibrahim. Tatkala Nabi Ibrahim bersama puteranya, Ismail, selesai membina Kaabah di Mekah di atas arahan Allah sebagai pusat kegiatan bagi menegakkan dasar-dasar tauhid, Allah s.w.t menguji kekukuhan iman kedua-dua nabi ini.

Pengorbanan itu adalah pengorbanan yang paling tinggi dalam hidup, iaitu pengorbanan jiwa dan raga.

Menurut Imam Syafie, hukum korban adalah sunat muakkad yang amat dituntut kepada mereka yang mampu termasuk para hujjaj (jemaah haji) yang berada di Mina dan terutama umat Islam yang berada di kampung halamannya sendiri, kerana ia adalah amalan yang amat dikasihi Allah pada hari nahr (Hari Raya). Namun begitu, terdapat sebahagian ulama yang menyatakan ia adalah wajib kepada mereka yang mampu berdasarkan firman Allah yang bermaksud: ”Maka dirikanlah solat kepada Allah (Tuhanmu) dan berkorbanlah.” (Al-Kauthar: 2)

Di dalam al-Quran disebut tentang pengorbanan dua orang anak Nabi Adam. Anak pertama memberi korban dengan tulus ikhlas atas dasar niat demi mematuhi perintah Allah s.w.t. dan mendekatkan diri kepada-Nya. Manakala anak yang kedua juga berkorban tetapi tidak berdasarkan ketulusan hati dan usaha sungguh-sungguh untuk mendekatkan diri kepada Allah. Oleh hal yang demikian itu, korban anak yang pertama diterima di sisi Allah s.w.t, manakala anak kedua tidak diterima oleh Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) daripada yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): “Sesungguhnya aku akan membunuhmu.” (Habil) menjawab: “Hanyalah Allah menerima (korban) daripada orang-orang yang bertakwa.” (Al-Maidah: 27)

Amalan ibadah korban ini kemudiannya diteruskan oleh Nabi Ibrahim a.s sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengan-Nya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku. Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkan apa pendapatmu? Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintah kepadamu; insya-Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang-orang yang sabar.” (Al-Shaffat: 102)

Mengapa Allah memerintahkan Nabi Ibrahim a.s menyembelih Ismail kemudian membatalkannya dan menebusnya dengan seekor kibasy? Ini bukan hanya ujian untuk kedua-duanya, bukan juga hanya untuk membuktikan ketabahan keluarga Ibrahim tetapi juga untuk menjelaskan kepada siapa sahaja bahawa tiada sesuatu yang mahal atau amat bernilai untuk dikorbankan apabila telah tiba panggilan atau seruan Ilahi. Inilah bukti iman sejati. Akan tetapi harus diingat bahawa pembatalan tersebut bukan kerana manusia terlalu mahal untuk berkorban atau dikorbankan kerana Allah, tetapi ia dibatalkan demi kasih sayang Allah s.a.w kepada manusia.

Amalan berkorban dalah sebahagian usaha mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah s.w.t dan mendekatkan hubungan antara manusia dengan Allah ini dikenali sebagai amaliah yang bersifat vertikal. Manakala amaliah yang bersifat horizontal pula, ibadah penyembelihan korban meningkatkan hubungan antara manusia dengan manusia melalui pembahagian daging-daging korban terutama kepada golongan fakir dan miskin. Ini sebagai petunjuk bahawa takwa yang bersifat personal dan vertikal (hubungan hamba dengan Tuhannya) sering tidak terpisah dengan hubungan hamba itu dan persekitarannya. Justeru, amal sosial seperti korban harus didasarkan kepada Allah. Melalui ibadah korban inilah terselit maknawi yang mendalam bahawa manusia memerlukan pengorbanan dalam menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Ibadah korban adalah memanifestasikan rasa syukur dan puncak takwa. Ia sebagai tanda kembalinya manusia kepada Allah s.w.t setelah menghadapi ujian sehingga ada yang terpedaya dengan pujukan syaitan-syaitan – menjauhkan diri daripada Allah serta mengingkari larangan-Nya. Korban disyariatkan bagi mengingatkan manusia bahawa jalan menuju kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Akan tetapi, yang dikorban bukan manusia, bukan pula nilai-nilai kemanusiaan tetapi haiwan sebagai petanda bahawa pengorbanan harus ditunaikan dan bahawa yang dikorbankan adalah sifat-sifat kebinatangan dalam diri manusia saperti sifat rakus, tamak, ego, mengabaikan norma, nilai dan sebagainya. Secara hurufiahnya, kesempurnaan ibadah korban ini bermaksud membunuh segala sifat kebinatangan yang terdapat dalam diri manusia.

Berpandukan daripada kisah Habil dan Qabil tentang korban yang diterima oleh Allah, jelas menunjukkan bahawa keikhlasan itu adalah satu sifat yang paling utama dalam ibadah. Amalan berkorban harus menggunakan haiwan yang baik (sihat) dan berkualiti, tidak cacat, cukup umur serta banyak dagingnya. Meskipun hal-hal berkaitan ‘darah’ atau daging itu tidak sampai kepada Allah, tetapi yang lebih penting adalah ketakwaan kepada Allah. Korban itu tidak memberi makna sama sekali untuk Allah kerana Dia adalah Allah Yang Maha Agung, yang tidak memerlukan daripada apa-apa pun.

Dengan korban tersebut diharapkan agar ketakwaan kita kepada Allah semakin meningkat dan bahawa kita adalah hamba-Nya yang sentiasa memerlukan bimbingan dan petunjuk-Nya. Oleh hal yang demikian itu, kunci kepada semua amalan baik sama ada amalan sosial mahupun yang bersifat individual ialah takwa. Dalam hal ini Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: ”Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu.” (Al-Hajj: 37)

Apabila melakukan korban haiwan ternak sebagai ritual keagamaan dilakukan pada hari-hari tertentu pada bulan korban / haji, maka segala bentuk pengorbanan yang dilakukan oleh umat Islam pada hari-hari yang lain juga dapat disebut pengorbanan apabila disertai oleh ketakwaan kepada Allah s.w.t. Sikap itulah yang akan membezakan daripada pengorbanan lain yang dilakukan demi kekasih, demi keluarga dan bangsa yang belum tentu diredai oleh Allah.

Muhasabah : Makna ‘Takbir’ dan ‘Korban Aidil Adha’

Ustaz Zainudin Hashim

Ini kerana laungan takbir yang dilaungkan pada hari-hari berkenaan, bertujuan untuk membesarkan Allah SWT di atas segala nikmat yang dianugerahkan kepada semua. Justeru, sepatutnya setiap diri daripada kita yang mengaku Islam, perlu mengetahui secara mendalam pensyariatan laungan takbir pada malam hari raya.

Ia adalah untuk mengisytihar, bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang tidak pernah sama memungkiri janji-Nya terhadap hamba-Nya Muhammad untuk memenangkannya dalam medan pertempuran menghadapi pihak musuh (pasukan al-Ahzab) yang terdiri daripada puluhan ribu tentera menghadapi tentera Islam yang kecil jumlahnya.

Sesungguhnya laungan takbir mempunyai makna tersendiri yang mesti difahami dengan jelas oleh setiap individu muslim yang beriman bahawa Allah adalah Tuhan mereka, iaitu menjelmakan kefahaman bahawa Allah adalah segala-segalanya seperti maksud di bawah ini :

1- Kita percaya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, kita juga percaya bahawa tiada undang-undang yang lebih hebat daripada undang-undang-Nya.

2- Kita meyakini bahawa setiap masalah yang timbul adalah daripada-Nya dan jalan penyelesaiannya juga adalah daripada-Nya.

3- Kita mesti beradab dengan kitab suci al-Quran tanpa ada sebarang perasaaan ragu atau syak terhadapnya.

4- Kita hanya tunduk kepada Allah dan agama-Nya (Islam) sahaja, serta menjauhkan diri daripada menganut ajaran atau fahaman yang tiada kena mengena dengan Islam.

5- Kita berjanji untuk menunaikan segala sumpahan kita terhadap-Nya seperti lafaz dalam doa iftitah, al-Fatihah dan doa Qunut.

6- Pasrah hanya kepada Allah dengan menyanjung tinggi serta mendaulatkan undang-undang Islam yang lebih tinggi daripada undang-undang ciptaan manusia yang serba kekurangan.

7- Menjadikan Allah matlamat dalam kehidupan kita termasuk ungkapan, tindakan dan keputusan yang dibuat.

8- Meyakini bahawa segala bencana yang menimpa adalah atas kesilapan kita sendiri dan termasuk dalam senarai qada’ dan qadar Allah.

9- Merasa takut dan cemas akan ancaman Allah.

10- Takut kepada azab api neraka.

11- Tidak memilih pemimpin yang menyalahi Syariat Islam, sama ada dari sudut perbuatan, tingkah laku (body language), role model, percakapan dan lain-lain.

12- Tidak terdetik sedikitpun dalam hati untuk tidak percaya kepada Allah pada undang-undang, hukuman dan sebagainya.

13- Menjadikan rumah Allah sebagai tempat mengembalikan kemuliaan Islam dalam segenap aspek dan bukan hanya tempat untuk beribadat semata-mata.

14- Mensuci dan membesarkan Allah pada sifat-sifat serta nama-nama-Nya.

15- Meyakini bahawa Allah tidak membiarkan hamba-hamba-Nya meraba-raba di muka bumi ini tanpa buku panduan.

16- Menjadikan diri kita patuh, setia serta taat hanya kepada-Nya sahaja.

Sementara maksud korban pula, ia merupakan istilah daripada bahasa Arab yang bererti hampir/dekat, iaitu ibadat korban dengan menyembelih binatang ternakan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim ke atas anaknya Nabi Ismail.

Korban binatang ternakan adalah dikira sebagai satu ibadat kepada Allah SWT, apabila ia disebut sebagai ibadat, sudah pasti ibadat itu sendiri tidak dapat menerima perlakuan maksiat ketika ibadat korban sedang berlangsung.

Sebagai contoh, apabila seorang wanita itu berniat untuk menunaikan ibadat solat, lengkap dengan mengambil wuduk serta tempat solat yang suci dari sebarang najis yang nyata, tetapi ketika dia melakukan solat, dia bersolek atau memakai baju kebaya yang mendedahkan auratnya, apakah kita dapat menerima hakikat yang mengatakan ibadat solatnya itu sah dan diterima di sisi Allah kerana ibadatnya bercampur dengan maksiat kepada Allah.

Begitulah dengan ketegasn Allah SWT yang menjelaskan dalam ayat 37 surah al-Haj yang bermaksud : Daging-daging (unta, lembu, kambing) dan darahnya yang dikorbankan itu, sekali-kali tidak mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya.

Jelas dari apa yang ditegaskan Allah dalam ayat tersebut di atas, sesuatu amalan ibadat korban dengan menyembelih binatang-binatang ternakan pada hari raya itu hanya diterima dari mereka yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT.
Dalam ayat 27 surah al-Maidah pula Allah berfirman yang bermaksud : Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.

Persoalan di sini, adakah orang yang berkorban binatang ternakan pada hari raya korban dengan penampilan macam orang yang tidak beriman boleh dikategorikan sebagai bertakwa kepada Allah?.

Sepatutnya mereka perlu tahu keadaan dan tempat yang membezakan diri mereka pada waktu ibadat korban dijalankan, sebenarnya penampilan mereka itu memperlihatkan kecetekan ilmu yang ada pada diri mereka sendiri, malah memberi ruang kepada orang lain menghukumnya sebagai seorang warga kota yang tidak peka amalan serta ajaran agama.

Tetapi apakah sebenarnya takwa itu yang membezakan antara kita dengan mereka yang kurang peka terhadap Islam?

Takwa seperti yang pernah dijelaskan oleh Saidina Ali Bin Abi Talib ialah : Takut kepada Allah Yang Maha Mulia, beramal dengan isi kandungan al-Quran, reda dengan apa yang sedikit ada pada kita dan bersiap untuk hari pembalasan untuk bertemu dengan Allah.

Takwa juga menurut sebahagian ulama’ ialah membersihkan diri dari sifat-sifat terkeji dan melaksanakan segala tuntutan agama Allah SWT.

Selanjutnya, sesuatu ibadat itu tidak diterima di sisi Allah melainkan dilakukan atas dasar ilmu dan kefahaman yang mendalam seperti yang telah disyaratkan dalam ilmu Usul Fiqh.

Kesimpulannya, ibadat mesti dilakukan dengan rasa rendah diri kepada Allah dan menerusi kemantapan ilmu yang diwariskan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Perkara yang perlu dielak ketika menyertai ibadat korban sebagai renungan dan peringatan :
1- Tidak memakai seluar pendek.
2- Tidak bersolek atau memakai baju kebaya belah.
3- Tidak merokok ketika ibadat korban dijalankan.
4- Tidak bercakap pada perkara dunia semasa mata pisau diletakkan atas leher binatang sembelihan.
5- Tidak memakai baju yang tertera tulisan Tiger, Carlsberg, Sports Toto, Magnum ENE, Guinness, Akademi Fantasia, Mentor, One In A Million, Malaysian Idol atau pakaian sukan yang tertera nama-nama pemain bolasepak yang beragama Kristian dan sebagainya. Apa yang penting, hayati ibadat korban yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim ke atas anaknya Nabi ismail sebagai iktibar berguna meniti jalan takwa kepada Allah. 


0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More