Menghayati makna korban sebenarUmat
Islam di negara ini dan di seluruh dunia menyambut Hari Raya Korban
(Hari Raya Haji / Hari Raya Aidiladha). Salah satu ibadah amaliah yang
dilaksanakan pada sekitar Hari Raya Haji ialah ibadah korban.
Melaksanakan korban (yang dalam istilah fiqhnya disebut udhiyah) adalah
menyembelih haiwan ternak pada Hari Raya Aidiladha dan hari tasyrik
dengan niat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
Inilah peristiwa
besar yang melambangkan sejarah agama tauhid, pengorbanan yang ikhlas
kerana Allah dan usaha terus menerus untuk mendekatkan diri kepada-Nya.
Ia merupakan amalan tradisi para nabi sejak Adam hingga Nabi Muhammad
s.a.w.
Kita amat gembira melihat banyaknya kaum Muslim yang
menyambut panggilan mulia ini, mengorbankan sebahagian harta atau haiwan
ternak demi mengharapkan keredaan Allah s.w.t. Kita tanamkan niat murni
dan ikhlas ini kerana Allah s.w.t dan usah sekali-kali ia dilakukan
untuk lebih dihormati oleh masyarakat. Lebih daripada itu, berkorban itu
biarlah benar-benar selaras dengan tuntutan Rasulullah s.a.w.
Dalam
satu riwayat daripada Aisyah, disebutkan bahawa Nabi s.a.w bersabda
yang bermaksud: ”Tidaklah keturunan Adam melakukan suatu perbuatan pada
hari nahr yang lebih dicintai Allah selain mengalirkan darah
(menyembelih haiwan korban). Haiwan sembelihan itu akan datang pada hari
Kiamat membawa tanduknya, kukunya, dan bulunya. Sesungguhnya darah
haiwan sembelihan itu sampai kepada Allah lebih dahulu daripada sampai
ke tanah. Maka sucikanlah diri kamu dengannya.” (Riwayat Ibnu Majah dan
At-Tarmizi).
Al-Allamah Al-Manawi berkata, maksud hadis tersebut
adalah bahawa ibadah yang paling utama pada hari itu adalah mengalirkan
darah (menyembelih haiwan korban), dan bahawa pada hari Kiamat kelak
korban itu akan datang sebagaimana adanya ia di dunia, tidak berkurang
sedikit pun. Dan orang yang melakukan korban itu akan diberi pahala dari
setiap anggota tubuh haiwan korbannya itu.
Baginda Rasulullah
s.a.w sendiri dalam sebuah hadis telah mengungkapkan, orang-orang yang
tidak melaksanakan ibadah korban sedangkan dia berada dalam keadaan
mampu, maka jangan dekat kepada kami yang melaksanakan ibadah ini.
Hakikatnya kita sebagai manusia sering bergelumang dalam dosa dan
memiliki jarak dengan Allah.
Manusia berkewajipan mendekatkan
diri kepada-Nya. Maka, salah satu caranya adalah dengan berkorban. Oleh
yang demikian itu, maka sewajarnya kita menginsafi kembali akan sabda
Nabi s.a.w yang bermaksud: ”Barang siapa yang mempunyai keluasan rezeki,
lalu tidak berkorban, maka janganlah mendekati tempat solat kami.”
(Riwayat Ibnu Majah)
Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh
Ahmad dan Ibnu Majah daripada Zaid bin Arqam, pernah seorang sahabat
bertanya kepada baginda:
‘‘Wahai Rasulullah, apakah erti korban ini?” tanya sahabat.
‘‘Itulah sunnah daripada datukmu Ibrahim,” jawab Rasulullah.
“Apakah keuntungan korban itu untuk kita?” tanya sahabat itu lagi.
‘‘Setiap helai bulu haiwan korban itu merupakan satu kebaikan (hasanah),” jawab Rasulullah.
Seandainya
ada sesuatu yang lebih utama daripada penyembelihan haiwan korban yang
menjadi penebusan manusia di atas segala nikmat, tentunya Allah tidak
akan menyebutkan penyembelihan haiwan korban itu menerusi firman-Nya
yang bermaksud: ”Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang
besar, sebagai tebusan ke atas Ismail a.s.” (As-Shaffat: 107)
Berdasarkan
keterangan hadis dan firman Allah yang diungkapkan dalam al-Quran,
bahawa amalan korban berasal daripada Nabi Ibrahim a.s yang kemudiannya
diwarisi oleh baginda sebagai satu ibadah dalam syariat Islam yang
sangat dianjurkan untuk dilaksanakan.
Ibadah korban ini berasal
dari zaman Nabi Ibrahim. Tatkala Nabi Ibrahim bersama puteranya, Ismail,
selesai membina Kaabah di Mekah di atas arahan Allah sebagai pusat
kegiatan bagi menegakkan dasar-dasar tauhid, Allah s.w.t menguji
kekukuhan iman kedua-dua nabi ini.
Pengorbanan itu adalah pengorbanan yang paling tinggi dalam hidup, iaitu pengorbanan jiwa dan raga.
Menurut
Imam Syafie, hukum korban adalah sunat muakkad yang amat dituntut
kepada mereka yang mampu termasuk para hujjaj (jemaah haji) yang berada
di Mina dan terutama umat Islam yang berada di kampung halamannya
sendiri, kerana ia adalah amalan yang amat dikasihi Allah pada hari nahr
(Hari Raya). Namun begitu, terdapat sebahagian ulama yang menyatakan ia
adalah wajib kepada mereka yang mampu berdasarkan firman Allah yang
bermaksud: ”Maka dirikanlah solat kepada Allah (Tuhanmu) dan
berkorbanlah.” (Al-Kauthar: 2)
Di dalam al-Quran disebut tentang
pengorbanan dua orang anak Nabi Adam. Anak pertama memberi korban dengan
tulus ikhlas atas dasar niat demi mematuhi perintah Allah s.w.t. dan
mendekatkan diri kepada-Nya. Manakala anak yang kedua juga berkorban
tetapi tidak berdasarkan ketulusan hati dan usaha sungguh-sungguh untuk
mendekatkan diri kepada Allah. Oleh hal yang demikian itu, korban anak
yang pertama diterima di sisi Allah s.w.t, manakala anak kedua tidak
diterima oleh Allah.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan
bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang
anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika
mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk
mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang
antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) daripada yang lain
(Qabil). Berkata (Qabil): “Sesungguhnya aku akan membunuhmu.” (Habil)
menjawab: “Hanyalah Allah menerima (korban) daripada orang-orang yang
bertakwa.” (Al-Maidah: 27)
Amalan ibadah korban ini kemudiannya
diteruskan oleh Nabi Ibrahim a.s sebagaimana firman Allah yang
bermaksud: “Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang
membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengan-Nya, Nabi Ibrahim berkata:
“Wahai anak kesayanganku. Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa
aku akan menyembelihmu; maka fikirkan apa pendapatmu? Anaknya menjawab:
“Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintah kepadamu; insya-Allah, ayah
akan mendapati daku daripada orang-orang yang sabar.” (Al-Shaffat: 102)
Mengapa
Allah memerintahkan Nabi Ibrahim a.s menyembelih Ismail kemudian
membatalkannya dan menebusnya dengan seekor kibasy? Ini bukan hanya
ujian untuk kedua-duanya, bukan juga hanya untuk membuktikan ketabahan
keluarga Ibrahim tetapi juga untuk menjelaskan kepada siapa sahaja
bahawa tiada sesuatu yang mahal atau amat bernilai untuk dikorbankan
apabila telah tiba panggilan atau seruan Ilahi. Inilah bukti iman
sejati. Akan tetapi harus diingat bahawa pembatalan tersebut bukan
kerana manusia terlalu mahal untuk berkorban atau dikorbankan kerana
Allah, tetapi ia dibatalkan demi kasih sayang Allah s.a.w kepada
manusia.
Amalan berkorban dalah sebahagian usaha mendekatkan diri
(taqarrub) kepada Allah s.w.t dan mendekatkan hubungan antara manusia
dengan Allah ini dikenali sebagai amaliah yang bersifat vertikal.
Manakala amaliah yang bersifat horizontal pula, ibadah penyembelihan
korban meningkatkan hubungan antara manusia dengan manusia melalui
pembahagian daging-daging korban terutama kepada golongan fakir dan
miskin. Ini sebagai petunjuk bahawa takwa yang bersifat personal dan
vertikal (hubungan hamba dengan Tuhannya) sering tidak terpisah dengan
hubungan hamba itu dan persekitarannya. Justeru, amal sosial seperti
korban harus didasarkan kepada Allah. Melalui ibadah korban inilah
terselit maknawi yang mendalam bahawa manusia memerlukan pengorbanan
dalam menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Ibadah korban
adalah memanifestasikan rasa syukur dan puncak takwa. Ia sebagai tanda
kembalinya manusia kepada Allah s.w.t setelah menghadapi ujian sehingga
ada yang terpedaya dengan pujukan syaitan-syaitan – menjauhkan diri
daripada Allah serta mengingkari larangan-Nya. Korban disyariatkan bagi
mengingatkan manusia bahawa jalan menuju kebahagiaan memerlukan
pengorbanan. Akan tetapi, yang dikorban bukan manusia, bukan pula
nilai-nilai kemanusiaan tetapi haiwan sebagai petanda bahawa pengorbanan
harus ditunaikan dan bahawa yang dikorbankan adalah sifat-sifat
kebinatangan dalam diri manusia saperti sifat rakus, tamak, ego,
mengabaikan norma, nilai dan sebagainya. Secara hurufiahnya,
kesempurnaan ibadah korban ini bermaksud membunuh segala sifat
kebinatangan yang terdapat dalam diri manusia.
Berpandukan
daripada kisah Habil dan Qabil tentang korban yang diterima oleh Allah,
jelas menunjukkan bahawa keikhlasan itu adalah satu sifat yang paling
utama dalam ibadah. Amalan berkorban harus menggunakan haiwan yang baik
(sihat) dan berkualiti, tidak cacat, cukup umur serta banyak dagingnya.
Meskipun hal-hal berkaitan ‘darah’ atau daging itu tidak sampai kepada
Allah, tetapi yang lebih penting adalah ketakwaan kepada Allah. Korban
itu tidak memberi makna sama sekali untuk Allah kerana Dia adalah Allah
Yang Maha Agung, yang tidak memerlukan daripada apa-apa pun.
Dengan
korban tersebut diharapkan agar ketakwaan kita kepada Allah semakin
meningkat dan bahawa kita adalah hamba-Nya yang sentiasa memerlukan
bimbingan dan petunjuk-Nya. Oleh hal yang demikian itu, kunci kepada
semua amalan baik sama ada amalan sosial mahupun yang bersifat
individual ialah takwa. Dalam hal ini Allah s.w.t berfirman yang
bermaksud: ”Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak
sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya
ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu.” (Al-Hajj:
37)
Apabila melakukan korban haiwan ternak sebagai ritual
keagamaan dilakukan pada hari-hari tertentu pada bulan korban / haji,
maka segala bentuk pengorbanan yang dilakukan oleh umat Islam pada
hari-hari yang lain juga dapat disebut pengorbanan apabila disertai oleh
ketakwaan kepada Allah s.w.t. Sikap itulah yang akan membezakan
daripada pengorbanan lain yang dilakukan demi kekasih, demi keluarga dan
bangsa yang belum tentu diredai oleh Allah.
Muhasabah : Makna ‘Takbir’ dan ‘Korban Aidil Adha’
Ustaz Zainudin Hashim
Ini
kerana laungan takbir yang dilaungkan pada hari-hari berkenaan,
bertujuan untuk membesarkan Allah SWT di atas segala nikmat yang
dianugerahkan kepada semua. Justeru, sepatutnya setiap diri daripada
kita yang mengaku Islam, perlu mengetahui secara mendalam pensyariatan
laungan takbir pada malam hari raya.
Ia adalah untuk
mengisytihar, bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang tidak pernah sama
memungkiri janji-Nya terhadap hamba-Nya Muhammad untuk memenangkannya
dalam medan pertempuran menghadapi pihak musuh (pasukan al-Ahzab) yang
terdiri daripada puluhan ribu tentera menghadapi tentera Islam yang
kecil jumlahnya.
Sesungguhnya laungan takbir mempunyai makna
tersendiri yang mesti difahami dengan jelas oleh setiap individu muslim
yang beriman bahawa Allah adalah Tuhan mereka, iaitu menjelmakan
kefahaman bahawa Allah adalah segala-segalanya seperti maksud di bawah
ini :
1- Kita percaya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, kita
juga percaya bahawa tiada undang-undang yang lebih hebat daripada
undang-undang-Nya.
2- Kita meyakini bahawa setiap masalah yang timbul adalah daripada-Nya dan jalan penyelesaiannya juga adalah daripada-Nya.
3- Kita mesti beradab dengan kitab suci al-Quran tanpa ada sebarang perasaaan ragu atau syak terhadapnya.
4-
Kita hanya tunduk kepada Allah dan agama-Nya (Islam) sahaja, serta
menjauhkan diri daripada menganut ajaran atau fahaman yang tiada kena
mengena dengan Islam.
5- Kita berjanji untuk menunaikan segala sumpahan kita terhadap-Nya seperti lafaz dalam doa iftitah, al-Fatihah dan doa Qunut.
6-
Pasrah hanya kepada Allah dengan menyanjung tinggi serta mendaulatkan
undang-undang Islam yang lebih tinggi daripada undang-undang ciptaan
manusia yang serba kekurangan.
7- Menjadikan Allah matlamat dalam kehidupan kita termasuk ungkapan, tindakan dan keputusan yang dibuat.
8-
Meyakini bahawa segala bencana yang menimpa adalah atas kesilapan kita
sendiri dan termasuk dalam senarai qada’ dan qadar Allah.
9- Merasa takut dan cemas akan ancaman Allah.
10- Takut kepada azab api neraka.
11-
Tidak memilih pemimpin yang menyalahi Syariat Islam, sama ada dari
sudut perbuatan, tingkah laku (body language), role model, percakapan
dan lain-lain.
12- Tidak terdetik sedikitpun dalam hati untuk tidak percaya kepada Allah pada undang-undang, hukuman dan sebagainya.
13-
Menjadikan rumah Allah sebagai tempat mengembalikan kemuliaan Islam
dalam segenap aspek dan bukan hanya tempat untuk beribadat semata-mata.
14- Mensuci dan membesarkan Allah pada sifat-sifat serta nama-nama-Nya.
15- Meyakini bahawa Allah tidak membiarkan hamba-hamba-Nya meraba-raba di muka bumi ini tanpa buku panduan.
16- Menjadikan diri kita patuh, setia serta taat hanya kepada-Nya sahaja.
Sementara
maksud korban pula, ia merupakan istilah daripada bahasa Arab yang
bererti hampir/dekat, iaitu ibadat korban dengan menyembelih binatang
ternakan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang pernah
dilakukan oleh Nabi Ibrahim ke atas anaknya Nabi Ismail.
Korban
binatang ternakan adalah dikira sebagai satu ibadat kepada Allah SWT,
apabila ia disebut sebagai ibadat, sudah pasti ibadat itu sendiri tidak
dapat menerima perlakuan maksiat ketika ibadat korban sedang
berlangsung.
Sebagai contoh, apabila seorang wanita itu berniat
untuk menunaikan ibadat solat, lengkap dengan mengambil wuduk serta
tempat solat yang suci dari sebarang najis yang nyata, tetapi ketika dia
melakukan solat, dia bersolek atau memakai baju kebaya yang mendedahkan
auratnya, apakah kita dapat menerima hakikat yang mengatakan ibadat
solatnya itu sah dan diterima di sisi Allah kerana ibadatnya bercampur
dengan maksiat kepada Allah.
Begitulah dengan ketegasn Allah SWT
yang menjelaskan dalam ayat 37 surah al-Haj yang bermaksud :
Daging-daging (unta, lembu, kambing) dan darahnya yang dikorbankan itu,
sekali-kali tidak mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan daripada
kamulah yang dapat mencapainya.
Jelas dari apa yang ditegaskan
Allah dalam ayat tersebut di atas, sesuatu amalan ibadat korban dengan
menyembelih binatang-binatang ternakan pada hari raya itu hanya diterima
dari mereka yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT.
Dalam ayat
27 surah al-Maidah pula Allah berfirman yang bermaksud : Sesungguhnya
Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.
Persoalan
di sini, adakah orang yang berkorban binatang ternakan pada hari raya
korban dengan penampilan macam orang yang tidak beriman boleh
dikategorikan sebagai bertakwa kepada Allah?.
Sepatutnya mereka
perlu tahu keadaan dan tempat yang membezakan diri mereka pada waktu
ibadat korban dijalankan, sebenarnya penampilan mereka itu
memperlihatkan kecetekan ilmu yang ada pada diri mereka sendiri, malah
memberi ruang kepada orang lain menghukumnya sebagai seorang warga kota
yang tidak peka amalan serta ajaran agama.
Tetapi apakah sebenarnya takwa itu yang membezakan antara kita dengan mereka yang kurang peka terhadap Islam?
Takwa
seperti yang pernah dijelaskan oleh Saidina Ali Bin Abi Talib ialah :
Takut kepada Allah Yang Maha Mulia, beramal dengan isi kandungan
al-Quran, reda dengan apa yang sedikit ada pada kita dan bersiap untuk
hari pembalasan untuk bertemu dengan Allah.
Takwa juga menurut
sebahagian ulama’ ialah membersihkan diri dari sifat-sifat terkeji dan
melaksanakan segala tuntutan agama Allah SWT.
Selanjutnya,
sesuatu ibadat itu tidak diterima di sisi Allah melainkan dilakukan atas
dasar ilmu dan kefahaman yang mendalam seperti yang telah disyaratkan
dalam ilmu Usul Fiqh.
Kesimpulannya, ibadat mesti dilakukan
dengan rasa rendah diri kepada Allah dan menerusi kemantapan ilmu yang
diwariskan oleh baginda Rasulullah s.a.w.
Perkara yang perlu dielak ketika menyertai ibadat korban sebagai renungan dan peringatan :
1- Tidak memakai seluar pendek.
2- Tidak bersolek atau memakai baju kebaya belah.
3- Tidak merokok ketika ibadat korban dijalankan.
4- Tidak bercakap pada perkara dunia semasa mata pisau diletakkan atas leher binatang sembelihan.
5-
Tidak memakai baju yang tertera tulisan Tiger, Carlsberg, Sports Toto,
Magnum ENE, Guinness, Akademi Fantasia, Mentor, One In A Million,
Malaysian Idol atau pakaian sukan yang tertera nama-nama pemain
bolasepak yang beragama Kristian dan sebagainya. Apa yang penting,
hayati ibadat korban yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim ke atas anaknya
Nabi ismail sebagai iktibar berguna meniti jalan takwa kepada Allah.